Sunday, August 9, 2009

Si Cerpelai dan Cincin Sakti


By: Lipas Alzheimer

Pada suatu hari yang ceria, Si Cerpelai terasa ingin bersiar-siar dengan kasut Converse Chuck Taylor rona coklat yang baru dibelinya. Sedang dia bersiul-siul keriangan sambil mencuci mata, Si Cerpelai terserempak dengan satu makhluk yang sangat pelik rupanya.


“Apakah nama mahluk ini?” ujar Si Cerpelai kehairanan. Bentuknya bulat bersinar-sinar, bertambah silaunya tatkala disimbah cahaya mentari pagi. Ia bertindih dua relung, berlingkar rapat bak ular sawa yang sedang enak tidur dibuai mimpi. Namun bukan jua ia seekor ular kerana tiada kepala mahupun ekornya. Warna sisiknya bersadur mewah dek emas keluli. Tambah seri berselang-seli antara sisiknya ialah 3 lekuk bersulam rapat rona platinum.

Si Cerpelai menggaru-garu kepalanya yang agak berkelumur. Maklumlah sudah hampir sebulan rambutnya tak disyampu. Bajet bulan ini sudah lari jauh dari perkiraan selalu. Hendak membeli sebotol syampu Sunsilk Anti-Dandruff pun dia harus berkira-kira.  

Tiba-tiba Si Cerpelai disapa satu suara, “ Apa yang engkau sedang kerjakan, wahai Si Cerpelai?”. “Eh, siapa pula yang menegur di dalam rimba belantara ini?” Si Cerpelai menoleh ke kiri dan kanan. Rupa-rupanya seekor lipas betina yang agak comel raut wajahnya. 

“Aku amat terkesima melihat keajaiban di depan mataku. Dari tadi puas aku berfikir apalah gerangannya mahkluk ini?”, tuding Si Cerpelai.

 “Lupakah engkau, Si Cerpelai? Inilah dia cincin sakti pemberian kau kepadaku sebagai tanda lamaran tempoh hari? Berhias elok di jari manisku ini tanda sudah berpunya…” si Lipas tersipu-sipu malu. 

“Oh, maafkan kanda , adindaku (dan dan terus tukar status panggilan diri). Kanda bukannya lupa, namun terlalu seronok nian di hati sungguh tak percaya akhirnya hajat hati memiliki adinda menjadi kenyataan! “, ujar Si Cerpelai sambil terkinja-kinja keseronokan. 

“Ayuh, mari kita kongsi bersama – sama rakan taulan betapa indah nian rupanya cincin sakti ini”, ujar Si Lipas lantas berjalan berpimpinan tangan dengan Si Cerpelai yang sangat disayanginya.  

Maka berlalulah Si Cerpelai dan Si Lipas menuju ke pekan berhampiran untuk mengkhabarkan berita gembira tersebut ke pelusuk alam maya….

No comments:

Post a Comment